Tumpuan :
Nasional

4 pelajar tahfiz mungkin didera, mangsa seksual – Polis

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan terdapat kesan kecederaan terhadap empat pelajar tahfiz yang dilaporkan hilang sejak Selasa lalu menjadi mangsa dera dan seksual.

Kesemua pelajar di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Datuk Keramat itu turut dikatakan melarikan diri dari pusat tahfiz berkenaan kerana tidak tahan menjadi mangsa buli.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata hasil pemeriksaan kesihatan yang dijalankan pihak Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejurus mereka ditemui, menemukan beberapa kesan kecederaan baru dan lama pada tubuh mereka.

“Hasil pemeriksaan awal, ada kecederaan. Kalau kita tengok tempoh masa itu, mungkin (kecederaan) berlaku semasa mereka berada di pusat tahfiz.

“Perkara ini masih dalam siasatan. Mereka ini masih kanak-kanak, maka segala keterangan yang mereka berikan (kepada pihak polis) mesti disokong dengan keterangan yang kukuh oleh pihak lain (saksi),” katanya ketika ditemui selepas program larian sempena Hari Sukan Negara 2024 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Mohd Rusdi berkata, semasa siasatan dijalankan, kesemua kanak-kanak itu mendakwa mereka didera namun siasatan lanjut sedang dijalankan bagi membuktikan dakwaan itu.

“Dakwaan itu ada (didera), namun buat masa ini saya tidak boleh dedahkan lebih lanjut kerana kes masih dalam siasatan. Buat masa ini ia hanya berdasarkan keterangan kanak-kanak itu, namun kecederaan itu ada.

“Kita tidak menolak kemungkinan ada berlaku kes buli, kerana ada ditemui kesan-kesan lebam pada tubuh mereka.

“Dan melalui keterangan keempat-empat kanak-kanak itu, mereka bertindak melarikan diri (dari pusat tahfiz) kerana tidak tahan dengan keadaan di pusat tahfiz ini,” katanya.

Dalam pada itu, katanya kesemua kanak-kanak itu turut mendakwa menjadi mangsa seksual dan polis sedang menyiasat dakwaan terbabit.

“Kita juga sudah merakam keterangan pihak pengurusan tahfiz bagi membantu siasatan ini. Siasatan juga mendapati mereka ini baru belajar di situ dan belum sampai setahun lagi.

“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan empat pelajar Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyyah, yang dilaporkan hilang sejak Selasa lalu, ditemui semula oleh orang awam di Bangi.

Sejurus ditemui, semua pelajar itu dibawa ke HKL untuk pemeriksaan kesihatan.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohd Lazim Ismail dilaporkan berkata, semua pelajar itu ditemui orang awam pada jam 11.58 malam.

Katanya, empat pelajar berusia antara 12 hingga 14 tahun itu ditemukan sedang berjalan kaki di sekitar kawasan Kampung Bangi, Kajang oleh orang awam sebelum diserahkan kepada Balai Polis Bangi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini