
JOHOR BAHRU: Empat pelajar Malaysia yang sedang melanjutkan pengajian di Universiti Mu’tah, Jordan, cedera selepas terbabit dalam nahas jalan raya di negara berkenaan, kelmarin.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khaled berkata, dua daripada pelajar berkenaan adalah dari Johor.
Katanya, mereka adalah pelajar Tahun Pertama pengajian Fiqh Wa Usul di universiti berkenaan.
“Saya mendapat maklumat daripada Atase Pendidikan Johor di Kedutaan Mesir bahawa empat pelajar Malaysia, dengan dua daripadanya berasal dari Johor mengalami kemalangan di Jordan.
“Dua lagi pelajar yang terbabit dalam kemalangan jalan raya itu berasal dari Selangor dan Wilayah Persekutuan.
“Dua pelajar Johor yang terbabit kemalangan itu ialah Muhammad Zakwan Azhar Masjudin dan Muhammad Ilham Dzurllkanian@Zulkarnian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Fared berkata, kedua-dua pelajar Johor serta seorang lagi pelajar dari Selangor, kini dilaporkan dalam keadaan stabil.
“Bagaimanapun, seorang pelajar yang berasal dari Wilayah Persekutuan masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital di Jordan.
“Marilah kita doakan keempat-empat pelajar ini kembali pulih dan sihat seterusnya dapat meneruskan pengajian mereka, Amin,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.