
SERIAN: Empat parah selepas kenderaan yang mereka naiki bertembung dengan sebuah van sewa di Jalan Serian-Tebedu, dekat sini, pada jam 2.20 petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Sarawak berkata dalam insiden terbabit, lima lagi yang menaiki van terbabit mengalami kecederaan ringan.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian bergerak ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan bagi menjalankan kerja-kerja menyelamat mangsa.
“Sejurus sampai di lokasi, pasukan bomba mendapati berlaku kemalangan membabitkan dua kenderaan berupa van sewa model Nissan Urvan dan Perodua Myvi.
“Semua mangsa berjaya keluar dari kedua-dua kenderaan dengan bantuan orang awam sebelum pasukan bomba tiba,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jurucakap berkenaan berkata anggota bomba kemudian menggunakan jentera EMRS menghantar empat mangsa parah itu ke Hospital Serian manakala lima yang cedera menaiki kenderaan awam.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.