comscore
Tumpuan :
Nasional

4 nelayan hilang, bot dinaiki tenggelam di perairan Tanjung Segenting

Foto: Maritim Malaysia

BATU PAHAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia)  menerusi Maritim Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru telah mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (Op CARILAMAT) lima kru bot nelayan tempatan yang hilang akibat bot yang dinaiki tenggelam sekitar pukul 6.00 pagi di perairan Tanjung Segenting, Batu Pahat, pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohd Haniff bin Mohd Yunus berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang awam memaklumkan bahawa terdapat bot nelayan tempatan tenggelam di posisi kira-kira 6.8 batu nautika barat daya Tanjung  Segenting, Batu Pahat, Johor.

Menurut maklumat awal kejadian, bot nelayan itu dinaiki oleh lima orang kru yang berumur di antara 43 hingga 62 tahun dan merupakan rakyat tempatan yang telah keluar ke laut  untuk memukat ikan. Keadaan cuaca yang buruk dan ombak besar telah menyebabkan bot terbalik seterusnya tenggelam.

Sejurus menerima maklumat, MRSC Johor Bahru telah mengaktifkan Op CARILAMAT pada pukul 9.00 pagi dan Bot Penggalang 30 dari Zon Maritim Batu Pahat telah diatur gerak ke lokasi kejadian.

Ketika di lokasi, bot nelayan tersebut kelihatan hampir tenggelam sepenuhnya.

Seorang mangsa, Tan Siak Bin, 43 tahun telah ditemui dan diselamatkan oleh bot nelayan yang berada berhampiran dan diserahkan kepada Bot Penggalang 30 untuk dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Batu Pahat bagi mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail.

Op CARILAMAT bagi empat lagi kru bot nelayan yang masih belum ditemui diperluaskan dengan penambahan radius kawasan pencarian kepada 23 batu nautika persegi.

Selain aset dari Maritim Malaysia, aset dari Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) turut terlibat dalam operasi pada hari ini.

Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat atau penemuan boleh menghubungi talian hotline, Pusat Operasi Zon Maritim Batu Pahat di talian 07-4344020 atau melalui talian bantuan kecemasan, MERS 999.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini