comscore
Tumpuan :
Nasional

4 murid tahfiz dilapor hilang sejak Isnin ditemui selamat

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Empat murid di sebuah pusat tahfiz di Datuk Keramat, di sini, yang dilaporkan hilang sejak Isnin lalu ditemui dalam keadaan selamat, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, empat murid berkenaan ditemui oleh orang awam jam 11.58 malam tadi.

“Mereka ditemui ketika berjalan kaki di sekitar kawasan Kampung Bangi, Kajang, Selangor.

“Kesemua murid berkenaan kemudian dibawa ke Balai Polis Bangi oleh orang awam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Lazim berkata, kesemua murid berkenaan sedang menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Siasatan lanjut berhubung perkara itu sedang dilakukan dan kesemua murid berkenaan akan diserahkan kepada keluarga masing-masing.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi, perkongsian dan menyebarkan berita daripada sumber tidak sahih yang boleh menganggu siasatan pihak polis,” katanya.

Sementara itu, pusat tahfiz berkenaan turut memaklumkan penemuan empat murid berkenaan yang didakwa melarikan diri dari tahfiz terbabit.

“Alhamdulillah, empat murid yang lari sudah dijumpai. Terima kasih atas doa semua yang membantu mencari mereka sehingga ditemui,” katanya menerusi hantaran dimuat naik di akaun Facebook pusat tahfiz itu, hari ini.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan empat murid sebuah pusat tahfiz di Datuk Keramat, di sini, dilaporkan hilang selepas tiga hari tidak pulang ke pusat pengajian berkenaan sejak Isnin lalu.

Kesemuanya yang berusia 10 hingga 12 tahun itu disedari tidak pulang ke pusat tahfiz oleh kakitangan pusat pengajian itu jam 10.30 malam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini