KUCHING: Empat maut, dua parah manakala tiga lagi cedera ringan dalam kemalangan jalan raya membabitkan tiga kereta dan dua motosikal di Jalan Stutong, di sini, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada pihak Hospital Umum Sarawak pada jam 12.59 tengah hari bagi meminta bantuan mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Beliau berkata, setibanya di lokasi kejadian pada jam 1.07 tengah hari, didapati kemalangan itu membabitkan dua kereta Proton Saga, sebuah Toyota Altis serta dua motosikal Yamaha dan Modenas.
“Terdapat sembilan mangsa kesemuanya. Empat daripadanya iaitu seorang wanita dan tiga lelaki disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Seorang wanita dalam keadaan kritikal dan seorang lelaki cedera parah manakala tiga lagi lelaki cedera ringan,” katanya.
Menurutnya lagi, identiti semua mangsa belum diperolehi dan pihak polis sedang mengumpul maklumat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.