JOHOR BAHRU: Empat lelaki dipercayai terbabit dalam sindiket pemalsuan dokumen geran hak milik tanah direman enam hari bermula hari ini, selepas ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor malam tadi.
Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Mohammad Izham Mohd Aliyas, mengeluarkan perintah reman itu di Mahkamah Majistret di sini. Tempoh tahanan hingga Rabu depan membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Semua suspek, berusia antara 49 hingga 53 tahun, tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 9 pagi dengan memakai baju lokap SPRM dan tangan bergari.
SPRM Johor, dalam kenyataan media hari ini, memaklumkan bahawa keempat-empat individu yang juga pengarah dan setiausaha sebuah syarikat swasta ditahan di Pejabat SPRM Johor sekitar jam 11 malam tadi.
Difahamkan, mereka ditahan kerana terlibat dalam pemalsuan dokumen mengandungi maklumat palsu untuk urusan permohonan Hakmilik Sambungan (Geran Hilang) Seksyen 168 Kanun Tanah Negara.
Tindakan itu bertujuan mendapatkan geran hak milik baharu daripada Pejabat Tanah dan Galian Johor serta memproses pertukaran nama pemilikan dalam geran berkenaan yang membabitkan beberapa dokumen berkaitan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.