comscore
Tumpuan :
Nasional

4 lelaki dicekup polis 4 jam selepas menyamun RM10,000

Lokasi kedai menjual peralatan memancing yang disamun empat lelaki. -Foto Ihsan Polis.

SUNGAI PETANI: Empat lelaki dikatakan tidak sempat menggunakan wang hasil samun yang dianggarkan kira-kira RM10,000, selain pelbagai peralatan memancing yang berjaya dilarikan.

Tindakan mereka menyamun sebuah kedai menjual peralatan memancing di Jalan Lencongan Barat, di sini, semalam berjaya dihidu pihak polis menyebabkan mereka dicekup tidak sampai empat jam selepas kejadian berlaku.

Kesemua suspek yang berusia antara 30 hingga 40 tahun itu ditahan polis sekitar jam 2.30 petang, dalam serbuan di kawasan Sungai Layar selepas melakukan kejadian samun itu sekitar jam 10.30 pagi.

Difahamkan, suspek dipercayai melakukan kegiatan itu dengan turut menggunakan senjata sebilah parang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kejadian berlaku ketika pemilik kedai itu yang juga seorang warga emas berusia 65 tahun serta isterinya berusia 61 tahun berada di dalam premis terbabit.

Beliau berkata, pasangan itu dipercayai baru membuka premis itu dan hendak memulakan perniagaan sebelum didatangi seorang pelanggan yang masuk ke premis itu.

Katanya, lelaki itu berpura-pura bertanyakan peralatan memancing yang terdiri dari satu rod dan satu mesin.

“Bagaimanapun lelaki berkenaan keluar semula dengan alasan dia ingin bertanya kepada abangnya yang menunggu di dalam kereta di luar kedai itu sama ada mahu membeli atau tidak.

“Kira-kira 10 minit kemudian, lelaki itu masuk semula ke dalam kedai itu bersama seorang rakannya yang bersenjatakan parang sebelum bertindak mengetuk monitor sebuah komputer dan mengacukan senjata sambil meminta mereka diam.

“Pada masa sama, seorang suspek naik mengambil pelbagai peralatan memancing dan wang tunai berjumlah RM10,000 di dalam laci dan sebuah telefon bimbit yang kesemuanya berjumlah lebih kurang RM26,000,” katanya.

Wan Azharuddin berkata, suspek dipercayai melarikan diri menggunakan kereta Perodua Bezza.

Katanya, susulan laporan polis yang diterima sepasukan anggota dan pegawai polis berjaya mengesan kereta dinaiki suspek di kawasan Sungai Layar.

“Berikutan itu, kita berjaya menahan suspek dan menemukan semula peralatan memancing yang dilarikan dan wang tunai yang disamun daripada pemilik premis berkenaan.

“Keempat-empat suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda untuk siasatan lanjut,” katanya.

Wan Azharuddin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 396/395 Kanun Keseksaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini