KUANTAN: Empat kru, termasuk tiga warga Indonesia, berjaya diselamatkan selepas bot tunda yang dinaiki mereka hampir karam akibat dipukul ombak, kira-kira 12 batu nautika tenggara Kuantan berhampiran pantai Lagenda, Pekan, semalam.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang, Mazlan Mat Rejab, berkata Pusat Sub Menyelamat Maritim (MRSC) Kuantan menerima maklumat berhubung insiden membabitkan bot tunda Muhibah AP 12 pada jam 7.40 malam.
Menurutnya, kru bot berusia antara 19 hingga 51 tahun dilaporkan selamat dan memakai jaket keselamatan ketika kejadian.
“Sebaik menerima laporan, bot ronda Penggalang 19 dikerahkan ke lokasi, namun usaha tergendala akibat cuaca buruk. Bagaimanapun, kira-kira jam 12.30 tengah malam, MRSC Kuantan dimaklumkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pekan bahawa semua mangsa berjaya diselamatkan.
“Mereka diselamatkan melalui jalan pantai kerana lokasi bot terkandas berhampiran pesisir pantai. Semua mangsa berada dalam keadaan selamat dan tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) ditamatkan pada jam 4 pagi selepas semua mangsa disahkan selamat.
Mazlan turut merakamkan penghargaan kepada PDRM dan APM atas kerjasama yang baik sepanjang operasi berlangsung.
“Maritim Malaysia komited menyalurkan bantuan kepada komuniti maritim dan mengalu-alukan laporan kecemasan di laut melalui talian Pusat Operasi Maritim Pahang di 09-5717345 atau MERS 999 untuk tindakan segera,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.