GOMBAK: Empat kereta terbakar dalam kebakaran sebuah bengkel mengecat kereta di Taman Sri Batu Caves di sini, malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian jam 11.03 malam.
Menurutnya, seramai 20 pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang dikejarkan ke lokasi.
“Sebaik tiba, kita dapati kebakaran membabitkan sebuah bengkel mengecat kereta di mana empat kereta termasuk sebuah Mercedes terbakar.
“Bengkel terbabit musnah 70 peratus dan operasi tamat, 2.01 pagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.