TUMPAT: Empat kenderaan termasuk sebuah motosikal hanyut selepas pembentung (culvert) pecah akibat arus deras di kawasan pintu air Kampung Jubakar Pantai, pagi tadi.
Bagaimanapun dua daripadanya sempat diselamatkan kerana terlekat di pokok manakala sebuah lagi kereta dipercayai jenis Perodua Myvi dan motosikal hanyut ke laut.
Menurut saksi yang juga pembantu kedai makan, Amirul Idham Saiful Zaid, 19, kejadian berlaku kira-kira jam 5.45 pagi tadi dan ketika itu dia berada di premisnya bekerja yang terletak berhampiran lokasi.
“Pada mulanya sebatang tiang elektrik tumbang dan tiba-tiba bunyi merekah dari jalan akibat terjahan arus sungai yang deras dari sungai.
“Apabila jalan pecah, arus sungai terus melimpah dan menghanyutkan empat kenderaan yang diparkir di tepi jalan namun dua daripadanya terlekat di celah pokok manakala dua lagi hanyut ke laut,” katanya.
Amirul Idham berkata, kenderaan yang diparkir di tepi jalan kawasan itu adalah milik penduduk sekitar yang kawasan mereka dinaiki air.
Menurutnya lagi, salah seorang pemilik kereta yang sempat diselamatkan mendakwa ingin tidur dalam keretanya malam tadi namun mujur tidak meneruskan hasrat terbabit.
“Arus sungai akibat hujan termasuk limpahan banjir dari Rantau Panjang dan Pasir Mas terlalu kuat menyebabkan terjahan di pembentung di sini.
“Nasib baik pembentung itu pecah, kerana air mengalir terus ke laut. Kalau tidak, habis kawasan sekitar ditenggelami air,” katanya.
Setakat ini, seramai 13,880 mangsa berlindung di 29 pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.