comscore
Tumpuan :
Nasional

4 kali diserang strok, Sheqal tidak mampu bekerja lagi

Sheqal sudah tidak mampu bekerja sejak diserang angin ahmar, tahun lalu.-Foto NSTP 

KUALA LUMPUR: Penyanyi yang cukup sinonim dengan irama nusantara pada era 1980-an, Sheqal kini tidak mampu berkerja sejak diserang angin ahmar, tahun lalu.

Sheqal, atau nama sebenarnya Shahrin Salehuddin, 59, yang popular dengan lagu Cinta Nusantara itu turut menghidap penyakit buah pinggang.

“Saya juga menghidap penyakit buah pinggang, kena angin ahmar empat kali dan sebelum ini, percakapan saya tidak jelas, sekarang baru boleh bercakap.

“Saya alami semua ini selama lima tahun. Sekarang saja boleh bercakap selepas mendapat rawatan di Muar, Johor. KARYAWAN yang menghantar saya mendapatkan rawatan di sana.

“Dahulu, saya terlantar sahaja, tidak boleh berdiri. Sekarang, Alhamdulillah, semakin baik,” katanya memetik BH Online.

Sheqal berkongsi sejak jatuh sakit, perniagaannya terjejas dan tidak mampu menyanyi.

Berikutan itu, beliau menzahirkan minat terhadap seni melalui tulisan dan lukisan.

“Dahulu saya ada bisnes. Jadi, tidaklah rasa terbeban. Sekarang, sudah tidak berniaga sejak sakit. Saya menulis untuk terus berkarya. Saya tumpahkan hasil seni dalam bentuk buku dan lukisan.

“Biasanya, saya menulis selepas solat Tahajud dan Dhuha… Inilah cara saya lupakan sakit buat seketika,” katanya.

Sheqal ditemui selepas menerima sumbangan wang tunai RM5,000 pada majlis Sumbangsih PEKEMA Prihatin di sini, hari ini.

Selain Sheqal, kira-kira 30 artis termasuk pelakon, penyanyi, pengarah dan penyampai radio menerima sumbangan masing-masing.

Antara yang menerima sumbangan adalah Datuk Sarimah Ahmad; Datuk Jefrydin; Datuk Andre Goh; Zaiton Sameon; Shuib Freedom; Mariam Ahmad; Norlia Ghani; Ali XPDC; Isma Alif; Shima; Sazali P Ramlee; Shasha Rohaizad; Nas Ahmad; Alfred Ho; Roy dan Zul Mahat.

Turut dibantu Sathiya; Yus Barat; M Jamil; Sofia Ibrahim; Mak Wan; DR Sam; Mak Jah; Kieran; Ebby Yus; Harun Hashim; Ruslan Salleh; Murali Abdullah dan Zaleha Hamid.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini