SHAH ALAM: Empat kakitangan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) cawangan Wangsa Maju memberi keterangan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Putrajaya berhubung siasatan kenderaan tidak mematuhi standard yang didakwa diluluskan pihak berkenaan.
Mengesahkan perkara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Mahmood Razak Bahman berkata hanya dua kakitangan memberi keterangan selepas Ops Mengejut kepada JPJ Putrajaya pada 31 Disember lalu dan bukan tiga seperti dilaporkan sebelum ini.
Katanya, foto orang ketiga yang disiarkan media sebelum ini adalah Pegawai Pengurus Wilayah Tengah PUSPAKOM yang hadir untuk menemani mereka.
“Kemudian, JPJ memutuskan memanggil dua lagi kakitangan PUSPAKOM Wangsa Maju dan saya difahamkan mereka hadir pagi tadi.
“Jadi, bilangan yang hadir memberikan keterangan adalah empat orang setakat ini,” katanya dalam sidang media di PUSPAKOM Shah Alam Seksyen 28 di sini, petang tadi.
Mengulas lanjut Mahmood berkata dua kakitangan terawal memberi keterangan adalah mereka yang meluluskan pemeriksaan kenderaan berkenaan, manakala bakinya adalah sebaliknya.
Katanya, PUSPAKOM mengambil maklum dan menyokong usaha yang dijalankan oleh JPJ dan bertekad terus bekerjasama dalam memastikan keselamatan jalan raya terjamin.
Pada masa sama, beliau turut berpuas hati dengan keterangan dua kakitangannya sebelum ini berhubung pemeriksaan terhadap sebuah kenderaan yang dilaporkan media baru-baru ini.
Bagaimanapun Mahmood memberi jaminan, kakitangan yang didapati terbabit dengan sebarang kesalahan termasuk unsur rasuah tidak akan terlepas daripada tindakan tegas.
“Dua kakitangan ini tiada masalah kerja. Kalau tidak pernah melakukan kesilapan sebelum ini, kita akan beri amaran lisan, seterusnya amaran bertulis, sekiranya kalau keterlaluan kita buang,” katanya.
Sementara itu, Mahmood turut membetulkan laporan tentang jumlah kenderaan yang ditahan JPJ dalam operasi sebelum ini.
Katanya, secara keseluruhannya, hanya satu kenderaan yang disita di cawangan Wangsa Maju, dan bukan tujuh seperti dilaporkan, manakala 104 kenderaan disita di Perak sebenarnya berada di luar kawasan PUSPAKOM dan belum lagi diperiksa.
“Setakat ini juga, PUSPAKOM tidak menerima apa-apa saman daripada JPJ sepanjang Ops Gempur yang masuk ke hari ke-3 hari ini.
“Sebanyak 43 cawangan diserbu pada 30 Disember 2024, 42 cawangan pada 31 Disember 2024 manakala setakat 2 petang hari ini, 2 cawangan diperiksa iaitu Glenmarie dan Seremban,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.