GUA MUSANG: Empat jam untuk keluarkan mayat pemandu dan kelindan lori yang tersepit di bawah lori.Itu antara tugas getir anggota bomba dan penyelamat Gua Musang susulan kemalangan membabitkan sebuah lori membawa muatan minyak sawit terbalik ketika melalui laluan berselekoh di Jalan Paloh 3-Lebir, di sini hari ini.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Nor Azizi Che Noh pihaknya mengambil tempoh masa agak lama selepas cubaan mengangkat dan mengalihkan kepala lori menggunakan jentera gagal.
Beliau turut mengesahkan bahawa kedua-dua mangsa dihempap bumbung lori dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Pihak kami terpaksa mendapatkan bantuan jentera berat dari sebuah kilang berdekatan dan (selepas itu baharu) kepala lori dapat diangkat serta dialihkan bagi membolehkan pihak bomba masuk untuk mengeluarkan mangsa,” katanya.
Mangsa dikenali sebagai Yahya Jusoh, 36, yang memandu lori terbabit dan kelindan, Mohammad Hariz Zulkifli, 20.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo mengesahkan kemalangan berlaku kira-kira jam 10.30 pagi dengan siasatan awal mendapati lori jenis Volvo dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan memasuki kanan jalan sebelum terbalik.
Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.