Tumpuan :
Nasional

4 individu rentas sempadan guna pangkalan haram jadi tangkapan pertama – Timbalan KPN

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay pada sidang media ketika hadir lawatan kerja di Pondok Polis Repek, Pasir Mas. FOTO NSTP

PASIR MAS: Empat Individu masing-masing dua lelaki tempatan dan dua warga Thailand menjadi tangkapan pertama selepas larangan rentas sempadan menggunakan pangkalan haram dikuatkuasakan bermula 1 Disember lalu.

Suspek berusia 33 hingga 50 tahun itu ditahan jam 12 tengah malam kelmarin di dua lokasi berasingan selepas dikesan menggunakan pangkalan haram di Rantau Panjang.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, ketika mengesahkan perkara itu berkata, dua lelaki tempatan
itu disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155).

Manakala katanya, dua warga Thailand termasuk seorang wanita ditahan mengikut 6(1)(c) Akta Imigresen.

“Kita kesan kesemua mereka menaiki bot dari Thailand ke Rantau Panjang sebelum ditahan. Ini adalah tangkapan pertama selepas larangan dikuatkuasakan bermula 1 Disember.

“Insya-Allah selepas ini akan banyak lagi tangkapan sekiranya masih ada yang menggunakan pangkalan haram.

“Kita akui ada yang tidak berpuas hati, namun perkara ini sudah lama berlaku dan sekarang ini kita akan mengambil tindakan tegas,” katanya.

Beliau berkata demikian jetika melawat Pos Kawalan Operasi Bencana Banjir PDRM Daerah Pasir Mas, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat.

Media sebelum ini melaporkan, Polis Kelantan akan menahan mana-mana individu yang menggunakan pangkalan haram untuk menyeberangi sempadan negara dan Thailand di sepanjang Sungai Golok, berkuat kuasa 1 Disember.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat ketika mengumumkan perkara itu berkata, mereka melakukan kesalahan itu akan ditahan mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) yang memperuntukan denda sehingga RM10,000 jika sabit kesalahan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini