Tumpuan :
Nasional

4 individu direman disyaki terbabit tuntutan palsu RM2.6 juta

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman empat individu melibatkan dua pengarah syarikat termasuk seorang yang bergelar Datuk dan dua naib presiden kanan syarikat kerana disyaki terbabit rasuah serta mengemukakan tuntutan palsu membabitkan pengeluaran wang syarikat kira-kira RM2.6 juta.

Suspek lelaki bergelar Datuk terbabit direman selama lima hari sehingga 17 Februari ini.manakala tiga lagi suspek masing-masing membabitkan dua lelaki dan seorang wanita berjawatan pengarah serta dua naib presiden kanan syarikat direman selama empat hari sehingga 16 Februari ini, selepas Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Menurut sumber, suspek bergelar Datuk berkenaan dipercayai telah berpakat dengan salah seorang suspek yang juga pengarah syarikat untuk memberi rasuah bagi mendapatkan tender penjualan tanah.

“Wang rasuah itu untuk dibayar kepada seorang pegawai syarikat konglomerat multinasional di negara ini bagi mendapatkan tender penjualan tanah di Klang.

“Siasatan awal mendapati, pengarah syarikat yang berpakat dengan Datuk berkenaan bersama-sama dengan dua naib presiden kanan syarikatnya telah berpakat mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu untuk mengeluarkan wang syarikat berjumlah kira-kra RM2.6 juta yang kemudian dipindahkan ke akaun syarikat lain.

“Susulan itu, kesemua suspek berusia lingkungan 50 hingga 60-an termasuk seorang suspek yang berjawatan pengurus akaun telah ditahan kira-kira jam 5 petang hingga 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM,” katanya.

Sementara itu Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat dibawah Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Bagaimanapun, katanya, pengurus akaun syarikat berkenaan telah dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini