IPOH: Polis menumpaskan sindiket penipuan membabitkan penjualan nombor pendaftaran kenderaan tidak wujud secara dalam talian yang menyasarkan mangsa di beberapa negeri.
Hasil serbuan dijalankan, empat suspek termasuk wanita yang menjadi dalang utama sindiket ditahan dalam serbuan berasingan di tiga negeri antara 10 Januari lalu hingga semalam.
Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, semua suspek termasuk seorang wanita berusia antara 27 hingga 52 tahun ditahan masing-masing di Gemencheh, Negeri Sembilan, Setapak di Kuala Lumpur dan Langkawi di Kedah.
Beliau berkata, serbuan dilakukan susulan aduan diterima daripada seorang lelaki berusia 22 tahun yang mendakwa ditipu sindiket terbabit.
Mengulas lanjut, katanya mangsa mendakwa sudah membayar deposit RM1,000 menerusi akaun bank diberikan bagi pembelian nombor pendaftaran kenderaan yang diiklankan, namun menyedari tertipu apabila tidak menerima sebarang jawapan selepas pembayaran dibuat.
“Semakan dilakukan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati nombor pendaftaran dibeli didaftarkan atas nama individu lain, selain syarikat terbabit tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM),” katanya.
Zulkafli berkata, selain ketua sindiket, suspek ditahan membabitkan pekerja yang mencari pelanggan, pencari pemilik akaun berminat untuk menyewakan akaun bank serta sebagai pembuat nombor plat kenderaan yang ditempah.
“Selain Perak, sindiket juga dikesan memperdaya beberapa mangsa lain di Selangor, Kedah dan Johor.
“Berdasarkan semakan nama syarikat dan nombor akaun digunakan, sindiket didapati terbabit dalam lapan laporan polis dengan nilai kerugian berjumlah RM71,400,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dengan empat suspek direman sehingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.