Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah
HULU TERENGGANU: Hujan lebat yang melanda Terengganu sejak semalam, menyebabkan empat daerah di negeri ini kembali dilanda banjir.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) Terengganu, 795 mangsa banjir dipindahkan setakat jam 12.00 tengah hari tadi.
Ia membabitkan 207 keluarga dengan 21 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.
Daerah Besut paling ramai dipindahkan iaitu 504 mangsa, yang kini menumpang teduh di tujuh PPS.
Diikuti Daerah Hulu Terengganu 135 mangsa, membabitkan 40 keluarga yang kini menumpang teduh di lapan PPS, daerah Setiu membabitkan 113 mangsa dengan lima PPS dibuka.
Manakala daerah Marang pula menjejaskan 43 mangsa dengan satu PPS dibuka.
Paras air sungai di beberapa daerah terutama di Besut, Hulu Terengganu dan Setiu menunjukkan trend menaik.
Pihak berkuasa menasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan berisiko supaya berwaspada dengan amaran berpindah ke tempat selamat jika diarahkan berbuat demikian.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.