KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca panas tahap satu di empat daerah yang membabitkan tiga negeri iaitu Kelantan, Johor dan Pahang.
Berdasarkan kemas kini harian pada jam 4.30 petang hari ini, daerah disenarai dalam kategori berjaga-jaga itu adalah Pasir Mas dan Kuala Krai di Kelantan, selain Rompin di Pahang dan Muar di Johor.
![](https://media.buletintv3.my/2023/05/MET-MALAYSIA.jpg)
Jumlah itu berkurangan berbanding amaran cuaca panas tahap satu dikeluarkan MetMalaysia semalam yang membabitkan lapan daerah di empat negeri, majoritinya di Pahang.
Tiada kawasan di Sabah dan Sarawak disenarai dalam kategori cuaca panas tahap satu.
Status cuaca panas tahap satu atau berjaga-jaga dikeluarkan bagi suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celcius yang direkodkan selama tiga hari berturut-turut.
Untuk maklumat terkini status cuaca panas harian, orang ramai boleh merujuk https://www.met.gov.my/iklim/status-cuaca-panas/.