Tumpuan :
Nasional

4 beranak melecur dalam kebakaran rumah

FOTO: JBPM

BACHOK: Empat beranak termasuk suami isteri melecur selepas rumah mereka terbakar di Kampung Gong Hilir, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 5.48 pagi itu, mangsa berusia 15 hingga 40-an yang cedera dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Penolong Penguasa Bomba Ahmad Ridhuan Mohamad, berkata mangsa adalah suami isteri serta dua anak mereka.

“Suami mengalami lecur pada leher dan kedua tangan, manakala isterinya dan dua anak mereka melecur di kedua-dua lengan dan tangan,” katanya ketika dihubungi BH.

FOTO: JBPM

Ahmad Ridhuan berkata, operasi diketuai Komander Operasi Pegawai Kanan II Lokman Yusoh bersama 14 anggota termasuk BBP Bachok dan BBP Tok Bali, Pasir Puteh membabitkan dua jentera.

Katanya, kediaman jenis kekal itu mengalami kebakaran 50 peratus dan api berjaya dikawal jam 6.23 pagi sebelum tamat sepenuhnya jam 7.40 pagi.

Katanya punca kejadian dan kerugian sedang dalam siasatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini