MUAR: Jenazah empat beradik yang maut dalam kebakaran di Kampung Sabak Awor, di sini malam semalam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 6, Bakri, di sini, malam tadi.
Jenazah Puteri Aisyah Tenko To, 8; Mohd Hakim, 6; Mustakim, 4; dan Fatihah Aisyah, 3; dikebumikan dalam satu liang lahad kira-kira jam 8.15 malam tadi.
Ibu bapa kanak-kanak berkenaan, Nabila Sedu, 31; dan Thein Ko Htut, 30, kelihatan masih sugul dan tidak bermaya tatkala jenazah keempat-empat anak mereka disemadikan.
Terdahulu, keempat-empat jenazah itu disembahyangkan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) yang turut disertai ahli keluarga dan keluarga terdekat sebelum dibawa ke tanah perkuburan untuk disemadikan.
Semalam, semua empat kanak-kanak itu ditemukan maut di bilik air di bahagian dapur rumah selepas rumah sewa didiami mereka terbakar sehingga 70 peratus. – BERNAMA