Oleh: Izzatie Rizan
KAJANG: Selepas enam tahun berusaha mendapatkan sijil kelahiran untuk empat anak kandungnya, seorang wanita menarik nafas lega apabila memperoleh dokumen penting itu buat zuriatnya hari ini.
Hasmida Hamid 33, menerima sendiri sijil kelahiran tersebut termasuk MyKid daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Hospital Kajang di sini.
Kisah Hasmida bersama zuriatnya Nur Damia Balqis Abd Rahman 6, Muhammad Rayyan Mikail, 5, Muhammad Ridhwan Haikal 3, dan Muhammad Alief 1, sebelum ini tular apabila video kesempitan hidup keluarga itu serta empat anaknya yang tidak mempunyai pengenalan diri sejak dilahirkan dimuat naik seorang pempengaruh.
Menurut Hasmida yang juga ibu tunggal tiada apa yang lebih menggembirakan hati seorang ibu apabila nasib anak-anaknya terbela.
“Saya dan bekas suami memang rakyat Malaysia, namun sukar menyelesaikan pendaftaran kelahiran anak-anak akibat masalah rumah tangga serta kekangan kewangan.
“Saya sangat bimbang kerana anak-anak semakin membesar, susah hendak ke sekolah. Hari ini penat lelah saya terbayar, saya bersyukur akhirnya mereka dapat sijil kelahiran yang dinanti-nantikan dimana dokumen ini ibarat nyawa anak-anak saya,” katanya dalam nada sebak kepada Buletin TV3 di perkarangan wad kanak-kanak di sini.
Mengulas lanjut, anak bongsu Hasmida kini sedang dirawat di Hospital Kajang akibat jangkitan kuman serius sejak 14 Oktober lalu.
“Saya berterima kasih kepada Kementerian Dalam Negeri yang diterajui Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail kerana berusaha kuat meluluskan permohonan kewarganegaraan ini mengikut Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara,” ujarnya.
Sementara itu, Saifuddin menyeru masyarakat agar tidak melengah-lengahkan pendaftaran kelahiran pada waktu yang ditetapkan.
“Kita ambil episod ini sebagai pengajaran. Ada tempoh 60 hari untuk mendaftar dan dalam tempoh itu kalau masih tidak dipenuhi maka permohonan akan masuk dalam kategori pendaftaran lewat.
“Sebab itu di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kita ada inisiatif Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) yang dibuat untuk menangani kes-kes sebegini.
“Perbuatan melewatkan-lewatkan ini hanya akan menyusahkan kehidupan anak-anak di masa depan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.