Tumpuan :
Nasional

4.11 juta ahli KWSP keluarkan RM12.07 bilion dari Akaun Fleksibel

Foto hiasan

Oleh: Nurul Amalina Zainudin

KUALA LUMPUR: Setakat 31 Disember tahun lalu, seramai 4.11 juta daripada keseluruhan 13.2 juta ahli bawah umur 55 tahun, membuat pengeluaran Akaun Fleksibel Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melibatkan jumlah RM12.07 bilion.

Manakala jumlah baki simpanan keseluruhan Akaun Fleksibel pula adalah sebanyak RM7.73 bilion.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan sentiasa berusaha untuk memastikan setiap ahli KWSP dapat menguruskan kewangan mereka dengan yakin dan berdaya tahan dalam persekitaran yang dinamik serta mencabar ini.

“Pengenalan Akaun Fleksibel ini dilihat dapat meningkatkan aliran tunai ahli ketika keadaan mendesak dan cadangan pengeluaran KWSP secara bersasar tidak lagi relevan untuk diperkenalkan pada masa ini memandangkan ahli boleh membuat pengeluaran melalui Akaun Fleksibel,” katanya dalam ucapan penggulungan Usul Menjunjung Kasih ke atas Titah Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim, di Dewan Rakyat hari ini.

Ujarnya secara umumnya, pengeluaran Akaun Fleksibel telah membantu ahli KWSP memenuhi keperluan kewangan jangka pendek mereka.

Akaun Fleksibel (Akaun 3) diperkenalkan bagi membantu ahli menangani keperluan kewangan jangka pendek yang boleh dikeluarkan pada bila-bila masa untuk apa-apa tujuan mengikut keperluan terutamanya ketika kecemasan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini