comscore
Tumpuan :
Nasional

3K KESUMA bantu negara rancakkan semula ekonomi

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.

PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) telah meletakkan misi 3K iaitu Kebajikan Kemahiran dan Keberhasilan Pekerja dalam mengiringi usaha Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merancakkan semua ekonomi negara.

Menterinya Steven Sim Chee Keong berkata, hasil daripada misi itu negara mini telah merekodkan jumlah pekerja tertinggi dalam sejarah iaitu seramai 16.52 juta orang pekerja.

“Dalam usaha Reformasi 100 Hari, KESUMA telah melaksanakan 80 pembaharuan yang boleh dirangkulkan dalam 4 tema utama iaitu gaji pekerja yang lebih wajar, kemahiran pekerja yang lebih tinggi, perlindungan keselamatan sosial yang lebih menyeluruh dan tatakelola yang lebih baik.

Tahun ini kita akan menyemak semula kadar gaji minimum, kajian 10 tahun menunjukkan gaji minimum mempunyai kesan positif ke atas mereka yang berpendapatan rendah, dengan peningkatan upah bulanan individu hampir 60% dari 2010-2019,” katanya ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Pekerja 2024 di sini hari ini.

Pun begitu, katanya kerajaan sedar bahawa gaji minimum sahaja tidak memadai, terutamanya mereka yang berpendapatan sederhana.

Justeru antara prakarsa kerajaan untuk menambahbaik keadaan upah pekerja Malaysia ialah dengan memperkenalkan dasar gaji progresif bagi memacu pampasan upah yang lebih baik.

“Projek rintis dasar gaji progresif yang dilaksanakan bersama Kementerian Ekonomi dijangka akan bermula pada bulan Jun nanti dengan sasaran 1,000 syarikat.

“Kerajaan Madani telah memperuntukkan RM50 juta untuk projek rintis ini.

“Dijangka 1.05 juta pekerja Malaysia akan mendapat manfaat melalui pelaksanaan projek rintis dasar gaji progresif pada tahun ini,” jelas beliau.

Tambahnya, KESUMA sedar bahawa pampasan upah yang lebih baik berkait rapat dengan keberhasilan yang lebih tinggi dan keberhasilan yang lebih tinggi boleh dicapai dengan kemahiran yang lebih tinggi.

“Justeru, tahun ini, KESUMA akan “go all out” untuk pelaksanaan latihan kemahiran bernilai tinggi kepada rakyat Malaysia.

“KESUMA akan memperuntukkan RM2.56 bilion bagi menyediakan pelbagai latihan kemahiran untuk rakyat Malaysia.

“Ada macam-macam kursus dalam pelbagai bidang ditawarkan – you name it we have it, termasuk bidang-bidang kemahiran terkini seperti AI, robotic, teknologi 5G, pengkodan komputer, kemahiran dalam ekonomi hijau “green skills” dan sebagainya,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan, kerajaan akan memberikan fokus yang jitu terhadap latihan kemahiran bagi memastikan setiap rakyat tanpa mengira bangsa, agama mahupun usia untuk mempunyai peluang untuk meningkatkan kemahiran melalui upskilling, reskilling dan cross-skilling.

“Ada kursus jangka pendek beberapa hari, ada kursus jangka panjang beberapa tahun; ada kursus Sijil Kemahiran Malaysia, ada kursus sijil mikro dan modular; ada kursus bersemuka, ada kursus on-the-job training di industri, ada kursus atas talian.

“Ada kursus berbayar – dengan harga mampu milik, saya janji; ada kursus boleh dibiayai dengan levi HRD Corp; ada kursus boleh dibiayai dengan pinjaman PTPK, geran KESUMA malah ada kursus percuma,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini