Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan
KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Hazani Ghazali mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas 38 tahun menabur bakti, susulan persaraan wajibnya 10 Februari ini.
Majlis Paluan Berundur di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur petang tadi dihadiri Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa dan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.
Selain itu, turut hadir pegawai kanan dan isteri masing-masing, simbolik penghormatan terakhir buat Hazani yang ditemani isterinya, Datin Seri Fadziah Abdul Hamid dan tiga anaknya.
Majlis yang bermula kira-kira 5.30 petang itu, diserikan dengan persembahan Pancaragam PDRM dengan Hazani diberi penghormatan memimpin persembahan dengan lagu Street of Dreams, diikuti deklamasi sajak.
Hazani dilahirkan pada 10 Februari 1965 di Machang, Kelantan.
Sepanjang 38 tahun dalam perkhidmatan, Hazani pernah memegang beberapa jawatan penting seperti Pegawai Gerakan (UTK, Bukit Aman), Komander Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Pesuruhjaya Polis Sabah dan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman.
Malah, di atas sumbangan dan kejayaan yang digarap sepanjang perkhidmatan, beliau telah menerima pelbagai pingat kebesaran.
Antara kejayaan yang dikaitkan dengan beliau termasuk Pengukuhan Langkah Keselamatan, di mana beliau berperanan dalam memastikan sumber dan aset keselamatan negara digunakan secara efektif untuk membanteras ancaman keselamatan seperti keganasan, ekstremisme dan kegiatan subversif.
Di bawah kepimpinan beliau juga, PDRM berjaya menumpaskan beberapa ancaman berkaitan militan dan keganasan terutamanya di timur perairan Sabah melalui Operasi Bersepadu dengan Agensi Keselamatan.
Hasil daripada sifat kewibawaan dan kecemerlangan serta mutu perkhidmatan dan kepimpinan yang ditonjolkan, beliau menerajui Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia sebagai Ketua Pengarah di Kementerian Dalam Negeri sejak 31 Januari 2024 dengan memegang pangkat Komisioner Polis (CP) Turus III.
Sepanjang menerajui AKPS, beliau memainkan peranan penting dalam pewartaan Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (Akta 860) dan telah mengetuai operasi yang berjaya merampas barangan seludup bernilai jutaan ringgit.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.