Tumpuan :
Nasional

37 warga asing ditahan dalam operasi bersepadu di Taman Nagasari, Perai

Sebahagian daripada 37 warga asing ditahan dalam operasi bersepadu di Taman Nagasari, petang semalam. – FOTO: Facebook/IPD Seberang Perai Tengah

BUKIT MERTAJAM: Selepas tular di media sosial berhubung kebanjiran warga asing yang mengganggu ketenteraman awam di Taman Nagasari, Perai, pihak polis bersama beberapa agensi bertindak menggempur kawasan perumahan terbabit, semalam.

IPD Seberang Perai Tengah melalui hantaran dalam Facebook hari ini, memaklumlan bahawa 37 tangkapan dilakukan dalam gerakan berkenaan, membabitkan dua tangkapan berkait kes jenayah dan 35 tangkapan pendatang asing tanpa izin (PATI), semuanya warga Nepal dan Myanmar.

Operasi bermula jam 3 dan berakhir 7 petang semalam itu digerakkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah dan turut disertai Jabatan Imigresen, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) serta Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Pulau Pinang.

Turut serta, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) serta Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

Anggota operasi mewakili pelbagai agensi bersiap sedia sebelum menggempur Taman Nagasari, semalam. – FOTO: Facebook/ IPD Seberang Perai Tengah

“Kehadiran warga asing di kawasan berkenaan dikatakan menimbulkan rasa kegusaran dan tidak selamat dalam kalangan penduduk setempat. Oleh itu, IPD Seberang Perai Tengah telah merancang operasi bersepadu bersama beberapa jabatan dan agensi kerajaan.

“Operasi bersepadu diketuai Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San ini bagi memantau dan menguatkuasakan tindakan ke atas kesalahan yang menyalahi undang-undang,” menurut hantaran berkenaan.

Terdahulu, media melaporkan bahawa taman perumahan berkenaan seolah-olah ‘ditawan’ oleh kumpulan warga asing yang menjadikan kawasan kediaman di situ seperti negara sendiri, termasuk ada yang membuka perniagaan sesuka hati.

Ada juga penempatan asrama disediakan, manakala aspek kebersihan didakwa langsung tidak diberi perhatian. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini