![](https://media.buletintv3.my/2025/02/14LzwxSj-BULETIN-TV3-AD-19.jpg)
SERDANG: Cubaan pendatang asing tanpa izin (PATI) bersembunyi di ruang siling dan tangki air di Pangsapuri Timur, di sini, elak ditahan gagal selepas dikesan pihak berkuasa semalam.
Malah ada yang enggan membuka pintu menyebabkan ia terpaksa dipecahkan.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen (JIM), Datuk Zakaria Shaaban berkata, JIM berjaya menahan seramai 37 orang Pati dalam satu operasi pada jam 12.10 tengah malam semalam di Pangsapuri Timur, di sini.
Menurutnya, operasi yang diketuai oleh Pengarah Bahagian Penguatkuasaan itu dilaksanakan dengan kekuatan seramai 58 orang pegawai pelbagai pangkat daripada Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat Imigresen Malaysia, Putrajaya.
“Dalam operasi ini seramai 82 individu pelbagai warganegara diperiksa dan hasilnya seramai 37 orang Pati yang berusia di antara 19 hingga 50 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
“Mereka yang ditahan adalah terdiri warganegara Bangladesh, Myanmar, Indonesia dan Pakistan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, lokasi serbuan adalah sebuah pangsapuri yang didiami warga asing.
“Tindakan penguatkuasaan ini diambil susulan aduan awam berhubung Pati yang disyaki tinggal di unit-unit kediaman pangsapuri itu tanpa memiliki pas dan dokumen pengenalan diri yang sah.
“Semasa serbuan dijalankan, terdapat warga asing yang enggan memberikan kerjasama hingga memaksa pegawai operasi memecahkan pintu unit kediaman,” katanya.
Katanya, beberapa warga asing juga dikesan bersembunyi di ruang siling dan tangki air namun helah itu dapat dikesan dan kesemua Pati berjaya ditangkap.
“Antara kesalahan yang dikenalpasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan -Peraturan Imigresen 1963.
“Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Bukit Jalil untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.