comscore
Tumpuan :
Nasional

37 mat rempit ditahan di Tanjong Karang

Foto Ihsan Polis

TANJONG KARANG: Seramai 37 penunggang motosikal berusia lingkungan 15 hingga 27 tahun ditahan kerana kerap membuat bising di pekan Tanjong Karang, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa, berkata pihaknya mengadakan operasi bermula 11 malam hingga 3 pagi susulan aduan daripada penduduk berhubung perkara itu.

“Operasi dijalankan anggota Balai Polis Tanjong Karang bersama anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor.

“Penduduk setempat memaklumkan bunyi bising kerap dilakukan kumpulan penunggang motosikal pada waktu malam sehingga menimbulkan kacau ganggu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Foto Ihsan Polis

Ramli berkata, sebanyak 110 saman dikeluarkan dalam operasi itu membabitkan pelbagai kesalahan serta menahan 31 motosikal.

“Antaranya tiada lesen memandu, menunggang di bawah umur 16 tahun, ubah suai ekzos, aksesori tidak lengkap, kesalahan no pendaftaran, tiada cukai jalan (LKM) dan tiada perlindungan insurans.

“Polis mengingatkan pengguna jalan supaya mematuhi undang-undang jalan raya dan menghormati masyarakat setempat.

“Selain itu, ibu bapa dan penjaga perlu memantau anak-anak supaya tidak terlibat dalam aktiviti motosikal yang menyalahi undang-undang serta tidak terlibat dalam sebarang aktiviti jenayah,” katanya.

Loading...
Terkini