comscore
Tumpuan :
Nasional

37 ‘hotspot’ tapak pelupusan sampah haram dikesan di Melaka

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Melaka, Khairul Adha Mutalib

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Sebanyak 37 lokasi berhampiran kawasan perindustrian dikesan sebagai titik panas tempat pelupusan sampah haram di negeri ini sepanjang tahun lalu.

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Melaka, Khairul Adha Mutalib berkata, antara sebab tindakan melupuskan sampah dengan cara sedemikian bertujuan menjimatkan kos berbanding menghantar bahan buangan ke tapak pelupusan sampah yang dikhaskan di Sungai Udang, di sini.

Kata beliau, lazimnya sampah yang dibuang ke lokasi-lokasi haram itu melebihi satu tan.

“Kebanyakan sisa pepejal yang kita rekodkan adalah daripada sisa komersial dan binaan. Setakat ini sebanyak 37 lokasi dikenal pasti sebagai tapak yang sering digunakan untuk aktiviti pembuangan sampah haram.

“Kawasan tumpuan adalah di sekitar daerah Melaka Tengah yang mana terdapat 18 lokasi aktif di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) diikuti sembilan lokasi di kawasan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ).

“Antara kawasan perindustrian yang terlibat adalah di Bukit Rambai, Krubong, Tanjung Minyak Perdana dan tanah kosong industri Hicom. Lain-lain lokasi seperti Jalan Ayer Salak, Kampung Paya Mengkuang dan Jalan Taman Teknologi Cheng (TTC)16,” katanya ketika ditemui media di sini hari ini.

Menurut Khairul Adha, pihaknya kini giat melaksanakan pelbagai operasi termasuk pembersihan dan penguatkuasaan.

Jelasnya, pendakwaan terhadap pihak yang didapati degil melakukan kegiatan membuang sampah secara haram juga sedang dilakukan.

“Dari segi penguatkuasaan, kita melakukan rondaan secara berkala serta pengintipan dan penyamaran di lokasi-lokasi tumpuan titik panas di negeri ini. Hasil intipan ini membawa kepada penahanan suspek-suspek yang terlibat dengan kes pembuangan sampah secara haram.

“Dua kes telah didakwa di mahkamah dan yang terkini kita sedang melengkapkan kertas siasatan empat kes pembuangan sampah haram pada tahun lalu. Kita akan membawa lebih banyak kes ke mahkamah pada tahun ini,” tambahnya.

Loading...
Terkini