Tumpuan :
Nasional

362 kesalahan lalu lintas dilakukan pelajar bermotosikal ke sekolah – JPJ

Foto: Ihsan JPJ

Oleh: Baharuddin Mohamed

MELAKA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka mengesan 362 kesalahan dilakukan pelajar bermotosikal pada Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya yang diadakan di sebuah sekolah menengah di Pernu, di sini, hari ini.

Pengarah JPJ negeri, Muhammad Firdaus Shariff berkata, antara kesalahan tertinggi dikesan ketika pemeriksaan itu ialah tiada cukai jalan dan insurans sebanyak 114 kes, tiada lesen memandu (88 kes) dan tidak memakai topi keledar (64 kes).

Kesalahan lain yang turut dikesan ialah tidak mempamerkan pelekat ‘P’ dan ‘L’ pada kenderaan masing-masing sebanyak 17 kes dan menunggang motosikal di bawah umur.

Foto: Ihsan JPJ

Bagaimanapun tiada tindakan kompaun diambil terhadap pelajar terbabit.

“Sebaliknya JPJ hanya mengeluarkan notis peringatan akhir kepada ibu bapa dan pelajar agar tidak mengulangi kesalahan sama,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Muhammad Firdaus kesal apabila kebanyakan pelajar yang melakukan kesalahan memberi alasan bahawa mereka diberi kebenaran ibu bapa masing-masing untuk menunggang motosikal ke sekolah.

Ia membuktikan terdapat ibu bapa mengambil sikap lepas tangan terhadap keselamatan anak masing-masing.

“Ada yang mengatakan bapa mereka yang suruh bawa motosikal ke sekolah walaupun tiada lesen, cukai jalan dan bawah umur.

“Ibu bapa selaku tunjang utama dalam mendidik anak-anak harus peka dan bertanggungjawab sepenuhnya dalam mengawal tingkah laku anak-anak.

“Jangan sesekali membenarkan anak-anak di bawah umur ini memandu kenderaan atau menunggang motosikal kerana risiko kemalangan dan kecelakaan yang sangat tinggi,” tegasnya.

Foto: Ihsan JPJ

Menurut Muhammad Firdaus, notis peringatan itu bertujuan agar pelajar tidak terus mengulangi kesilapan sama pada masa hadapan.

“Kita tidak mahu pelajar beranggapan kesalahan yang dilakukan mereka adalah sesuatu yang remeh,” katanya.

Selain pemeriksaan ke atas kenderaan, pihaknya juga mengadakan taklimat bersama pelajar dengan menerangkan secara jelas peraturan jalan raya yang perlu dipatuhi.

Pada program bersama Kadet JPJ Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pernu yang bermula dari jam 7 hingga 9 pagi itu, sejumlah 110 motosikal yang digunakan pelajar diperiksa.

Loading...
Terkini