Tumpuan :
Nasional

35 tahun setia berkhidmat, `Wira perang’ Covid-19 bersara wajib Jumaat ini  

Foto FB Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA: Selepas  35 tahun menabur bakti dalam bidang kesihatan, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang dianggap wira negara dalam memerangi Covid-19 akan bersara wajib Jumaat ini.

Dalam ciapannya di Twitter, Dr Noor Hisham menzahirkan persaraannya menerusi beberapa rangkap pantun.

“Kapal layar kemudi cermat, bijak nakhoda melawan gelora; 35 tahun setia berkhidmat, tiba detiknya waktu bersara.

“Langit dan mega luas terbentang, kadangnya cerah yang gelap menanti teruskan berjasa pimpinan mendatang, yang patah tumbuh yang hilang berganti,” ciapnya.

Foto FB Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, merakamkan penghargaan kepada Dr Noor Hisham  dan menyifatkan tempoh pengalaman beliau amat bermakna dan dimanfaatkan sepenuhnya untuk membina perkhidmatan kesihatan rakyat supaya setanding dengan negara luar.

“Saya percaya khidmat Tan Sri tidak terhenti di sini, bahkan khidmat itu masih diperlukan untuk pembangunan perubatan dan kesihatan negara.

“Saya mewakili pihak Kementerian Kesihatan ingin mengucapkan selamat bersara dan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Tan Sri Dr Noor Hisham di atas jasa, khidmat bakti dan sumbangan yang beliau sumbangkan sepanjang perkhidmatan di Kementerian ini,” katanya dalam perkongsian di Facebook.

Dr Noor Hisham menjawat sebagai Ketua Pengarah sejak 2013 dan sepanjang tempoh lebih tiga dekad dalam perkhidmatan cemerlangnya, beliau antara individu penting ketika negara berdepan krisis kesihatan ketika pandemik COVID-19.

Malah, beliau juga dianggap ‘wira’ rakyat melalui pencapaian terbaik pasukan kesihatan di bawah pimpinannya dalam memerangi penularan virus itu.

Loading...
Terkini