comscore
Tumpuan :
Nasional

34,643 permohonan layak sertai FSA2 KWSP

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

KUALA LUMPUR: Sebanyak 34,643 permohonan layak diterima untuk menyertai Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang membabitkan jumlah RM722 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata ia adalah daripada keseluruhan 74,392 permohonan yang diterima dalam tempoh seminggu sehingga semalam.

“Fasiliti ini disediakan KWSP bagi membolehkan ahli membuat permohonan awal membabitkan ‘Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun Atau Umur 55 Tahun’ dalam mendapatkan pembiayaan peribadi daripada institusi perbankan yang mengambil bahagian.

“KWSP menjangkakan jumlah permohonan untuk FSA2 akan terus meningkat, lebih-lebih lagi kini Bank Simpanan Nasional (BSN) melancarkan BSN MyRinggit Insan-i hari ini,” katanya melalui kenyataan, di sini, hari ini.

Permohonan bagi FSA2 dibuka bermula 7 April lalu selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini mengumumkan cadangan kerajaan untuk memperkenalkan kaedah yang membolehkan pencarum KWSP menggunakan wang caruman di agensi itu sebagai sandaran kepada bank bagi tujuan pembiayaan kewangan.

Pada masa sama, Amir Hamzah turut menjelaskan kekeliruan dengan menyatakan bayaran balik bulanan bagi FSA2 adalah perlu untuk memastikan pinjaman dibayar tepat pada masanya.

Katanya, fasiliti ini disasarkan kepada ahli KWSP yang mempunyai simpanan dalam Akaun 2 dan disokong oleh pendapatan yang berpatutan untuk memastikan mereka mampu membiayai pembiayaan peribadi itu.

“Selain itu, fasiliti ini turut disasarkan kepada ahli KWSP yang komited kepada pembayaran balik bulanan tanpa menjejaskan kecukupan dan jaminan pendapatan persaraan mereka.

“Penjelasan ini adalah kerana kami difahamkan terdapat kekeliruan dalam kalangan sebilangan ahli KWSP berhubung keperluan pembayaran balik bulanan pembiayaan peribadi ini,” katanya.

Amir Hamzah berkata, dua bank mengambil bahagian dalam FSA2 iaitu MBSB melalui kemudahan patuh Syariah Ihsan-i bermula 7 April lalu, dan BSN melalui MyRinggit Insan-i, diperkenalkan mulai hari ini di mana ahli boleh membuat permohonan pembiayaan peribadi secara dalam talian.

Katanya, permohonan dibuka selama setahun membolehkan ahli KWSP mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat permohonan awal bagi ‘Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun Atau Umur 55 Tahun’.

“Kami berbesar hati kerana kedua-dua MBSB Bank dan BSN menyokong FSA2, yang kami percaya akan membantu ahli yang mempunyai isu kecairan tunai untuk mendapatkan pembiayaan peribadi tanpa impak yang serius terhadap simpanan persaraan mereka,” katanya.

Jumlah kelayakan untuk pembiayaan peribadi ini adalah berdasarkan jumlah simpanan dalam Akaun 2, dengan jumlah pembiayaan minimum sebanyak RM3,000 dan maksimum RM50,000.

Setelah pembiayaan peribadi diluluskan, ahli boleh mengemukakan permohonan awal bagi ‘Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun Atau 55 Tahun’ kepada KWSP berdasarkan jumlah pembiayaan yang diluluskan.

Di bawah fasa 1, ahli yang layak berumur 40 tahun ke atas boleh memohon, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan pihak bank.

‘Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun atau 55 Tahun’ akan dibuat ke akaun bank ahli apabila mereka mencapai umur antara 50 hingga 55 tahun mengikut pilihan umur pengeluaran ahli.

Ahli boleh merujuk http://fsa2.kwsp.gov.my/ untuk menyemak kelayakan mereka bagi permohonan awal ‘Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun atau 55 Tahun’ dan jumlah yang boleh dipohon di bawah fasiliti itu.

Selain itu, soalan lazim berkaitan fasiliti ini juga terdapat di laman web untuk rujukan ahli.

Ahli disarankan untuk mendaftar atau mengemas kini nombor telefon bimbit mereka melalui ‘Self-Service Terminal’ (SST) yang terdapat di mana-mana cawangan KWSP bagi tujuan penerimaan Kod Pengesahan Transaksi (TAC)untuk pengesahan identiti ketika membuat transaksi.

Untuk maklumat lanjut mengenai Fasiliti Sokongan Akaun 2, layari laman web KWSP di www.kwsp.gov.my, atau hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di talian 03-8922

Loading...
Terkini