Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: 344 produk daripada 48 syarikat pengeluar minuman bergula sedia diminum telah direformulasi (dirumus semula) kepada produk kurang gula, setakat ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, tindakan diambil syarikat berkenaan bagi mengelak membayar cukai atau duti eksais ke atas minuman bergula.
“Berkuat kuasa pada 1 Julai 2019, cukai eksais ke atas produk minuman sedia diminum adalah pada kadar 40 sen seliter bagi tiga kategori minuman yang mempunyai jumlah gula melebihi nilai ambang yang ditetapkan.
“Kategori minuman tersebut adalah air minuman berkarbonat iaitu minuman tidak beralkohol yang mengandungi gula tambahan atau bahan pemanis lain yang mengandungi gula melebihi 5 gram per 100 mililiter (ml),” katanya ketika berucap merasmikan Seminar Anti Obes-City Putrajaya dan Pelancaran Modul Program Pengurusan Berat Badan Trim & Fit di sini, hari ini.
Kategori minuman seterusnya adalah jus buah-buahan dan sayur-sayuran yang mengandungi gula melebihi 12 gram per 100ml, selain minuman berasaskan susu yang mengandungi laktosa yang mengandungi gula melebihi 7 gram setiap 100ml.
Khairy berkata, skop pengenaan cukai eksais diperluas kepada penyediaan pra-campuran yang berasaskan coklat atau koko, malt, kopi dan teh seperti minuman pra-campuran dua dalam satu atau tiga dalam satu yang telah diumumkan dalam pembentangan Bajet 2022 pada 29 Oktober 2021.
Ditanya sama ada duti eksais yang sama akan diperluas kepada makanan yang mempunyai kandungan garam tinggi, beliau berkata, KKM masih menilai pengenaan duti berkenaan kerana tidak mahu ia memberi kesan kepada kos makanan dan sebagainya.
“Kita masih lagi kaji (pengenaan duti eksais makanan dengan kandungan garam tinggi). Sekarang ini kita sedang kaji keberkesanan duti eksais produk minuman bergula. Tidak salah untuk kita kaji kalau sekiranya ia membawa kepada satu keadaan kesihatan awam yang lebih baik.
“Tetapi kita tidak akan laksanakan (duti eksais makanan dengan kandungan garam tinggi) sekarang atau dalam tempoh masa dekat. Kita masih kaji pendekatan terbaik,” katanya.
Mengulas mengenai Seminar Anti Obes-City Putrajaya, Khairy berkata, ia bertujuan untuk menarik perhatian dan menyuntik kesedaran peserta tentang kepentingan mengawal status berat badan.
Selain berkongsi pengetahuan tentang faktor dan kesan obesiti kepada kesihatan, peserta juga diberi penerangan tentang amalan pemakanan sihat, perubahan tingkah laku, kaedah senaman dan aktiviti fizikal serta motivasi diri untuk mencapai berat badan idaman.