comscore
Tumpuan :
Nasional

34 peratus kemalangan maut di Lebuhraya PLUS babitkan kenderaan berat

Sejumlah 21 peratus kemalangan di Lebuhraya PLUS dikenal pasti membabitkan jenis kenderaan sama biarpun komposisi kenderaan berat dan komersial di lebuh raya kendalian syarikat konsesi itu hanyalah 10 peratus. – FOTO: Ihsan Bomba

KUALA LUMPUR: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mendedahkan 34 peratus daripada kemalangan maut di lebuh raya kendalian syarikat konsesi itu direkodkan berpunca daripada nahas jalan raya membabitkan kenderaan berat dan komersial, tahun lalu.

Malah, sejumlah 21 peratus kemalangan di Lebuhraya PLUS dikenal pasti membabitkan jenis kenderaan sama biarpun komposisi kenderaan berat dan komersial di lebuh raya kendalian syarikat konsesi itu hanyalah 10 peratus.

Justeru, Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar, berkata pihaknya menganjurkan Persidangan Keselamatan Kenderaan Berat (HEVTEC) 2024 dihadiri 200 peserta dalam kalangan pemain sektor pengangkutan berat bagi membincangkan inisiatif keselamatan membabitkan kenderaan berat di negara ini.

Beliau berkata, persidangan anjuran PLUS dengan kerjasama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) itu bertujuan mencari pendekatan dan langkah terbaik mengurangkan risiko kemalangan membabitkan kenderaan berat.

Ini kerana, katanya, impak kemalangan membabitkan kenderaan berat adalah amat besar kepada pengguna lebuh raya, menyebabkan kesesakan teruk selain pelancongan trafik susulan penutupan laluan.

“Tempoh pengalihan serta pembersihan juga sering mengambil masa panjang dan memerlukan penggunaan jentera berat dan peralatan khas. Ini boleh menjejaskan dan menyukarkan perjalanan pengguna lain.

“Berdasarkan pemerhatian, kenderaan berat dengan muatan lebih berisiko tinggi terbabit dalam kemalangan. Justeru, kami berharap semua operator kenderaan berat memainkan peranan dan mematuhi had muatan dibenarkan bagi meningkatkan lagi tahap keselamatan di lebuh raya,” katanya dalam kenyataan malam ini.

HEVTEC yang turut disertai pengawal selia dan agensi penguat kuasa itu dianjurkan sempena Persidangan Keselamatan Jalan Raya Asia (CARS) 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, mulai Isnin hingga hari ini.

Nik Airina berkata, PLUS sentiasa memberi penekanan utama dan komitmen terhadap inisiatif meningkatkan tahap keselamatan di lebuh raya selari objektif serta Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (PKJRM) 2022-2030.

Beliau berkata, PKJRM 2022-2030 mengetengahkan visi dan misi yang menyasarkan pengurangan 50 peratus jumlah kematian nahas jalan raya pada 2030, berasaskan jumlah kematian pada 2019.

Bagi mencapai matlamat PKJRM, katanya, PLUS juga sudah melaksanakan pelbagai inisiatif melalui Konsep 5E iaitu kejuruteraan, penguatkuasaan, pendidikan, tindak balas kecemasan dan penilaian.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini