comscore
Tumpuan :
Nasional

3,394 nelayan darat terima ‘duit raya’ mulai hari ini

Syed Jafri antara 3,394 nelayan darat yang menerima Bantuan Khas Aidilfitri 2023 bermula hari ini. – Foto: NSTP

KUANTAN: Seramai 3,394 nelayan darat di seluruh negara menerima RM200 seorang hasil agihan Bantuan Khas Aidilfitri Tahun 2023 yang membabitkan peruntukan keseluruhan RM678,800.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain, berkata agihan itu membabitkan nelayan darat yang aktif menjalankan aktiviti penangkapan ikan di perairan sungai termasuk tasik, bekas lombong, empangan dan lain-lain perairan umum di seluruh negara.

“Saya berharap Bantuan Khas Aidilfitri 2023 diberikan kerajaan ini dapat meringankan beban nelayan darat yang pendapatan mereka tidak menentu setiap hari.

“Satu Syawal tahun ini diharap lebih ceria buat nelayan darat. Bantuan ini bukti keprihatinan kerajaan terhadap golongan terbabit yang turut menjadi penyumbang dalam sektor perikanan negara,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Syed Jafri Sy Mohd, 52, dari Kampung Pulau Manis di Pekan berkata, bantuan disediakan kerajaan dapat digunakan untuk membeli keperluan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.

“Pendapatan nelayan darat tidak menentu setiap hari, bergantung kepada rezeki. Jadi, bantuan disediakan kerajaan ini amat bererti buat kami.

Rakannya, Syed Mohd Yusairy Saiyed Ibrahim, 41, berkata nasib nelayan darat lebih terbela dengan pelbagai bantuan diagihkan untuk mereka.

Berdasarkan agihan, Sarawak mencatat jumlah teramai nelayan darat membabitkan seramai 911 individu yang akan menerima Bantuan Khas Aidilfitri 2023 membabitkan peruntukan RM182,200.

Ini diikuti Sabah dengan 811 nelayan darat (RM162,200), Perak (492 nelayan, RM98,400), Pahang (379 nelayan, RM75,800), Kelantan (233 nelayan, RM46,600) dan Terengganu (137 nelayan, RM27,400).

Loading...
Terkini