Tumpuan :
Nasional

337,000 pengguna air di Pulau Pinang bakal alami gangguan bekalan hujung April depan

Status kerja-kerja penyambungan bahagian Saluran Paip Menyeberangi Sungai Perai (SP-RCP) yang bernilai RM8.7 juta telah mencapai 70 peratus. FOTO: NSTP / Ihsan PBAPP

BUTTERWORTH: Kira-kira 337,000 pengguna air di semua daerah di Pulau Pinang dijangka mengalami gangguan bekalan air berjadual (SWSI) antara 24 hingga 48 jam pada April depan, susulan kerja-kerja akhir penyambungan bahagian Saluran Paip Menyeberangi Sungai Perai (SP-RCP) yang bernilai RM8.7 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk K Pathmanathan, berkata pihaknya merancang untuk melaksanakan kerja-kerja berkenaan pada 25 April depan, dalam usaha pengepaman air terawat melalui saluran paip dasar laut berkembar yang lebih selamat dan efisien untuk memenuhi permintaan air pada masa hadapan.

Menurutnya, pelaksanaan kerja-kerja itu dilaksanakan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri sepertimana arahan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

“Apabila siap, ia akan menyokong kapasiti pengepaman air terawat maksimum 247 juta liter sehari (JLH).

“Pada 1 Februari lalu, status kerja projek SP-RCP berjalan mengikut jadual dan mencapai 70 peratus.

“Notis awal gangguan bekalan air berjadual ini adalah komponen saluran paip bekalan air utama yang meliputi dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua (LRA terpenting Pulau Pinang) di Seberang Perai Utara (SPU) ke Sungai Perai di Seberang Perai Tengah (SPT),” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Jelasnya, PBAPP memberi notis awal mengenai kerja-kerja penyambungan akhir berjadual projek SP-RCP kerana ia akan menjejaskan bekalan air kepada kira-kira 337,000 pengguna air di semua daerah di negeri ini, termasuk majoriti pengguna air industri di Bayan Lepas, Perai, Bukit Minyak dan Batu Kawan.

Tegasnya, jika terdapat kelewatan yang berkaitan dengan kerja penyambungan akhir SP-RCP disebabkan oleh keadaan yang tidak dijangka pada masa ini, maka ia akan ditangguhkan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini