comscore
Tumpuan :
Nasional

33 kes pokok tumbang di Sabah sejak 5 hari lalu

FOTO: Ihsan JBPM Sabah

Oleh: Safwan Sawi

KOTA KINABALU: 33 panggilan kecemasan membabitkan kes pokok tumbang direkodkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah sejak lima hari lalu.

Pemangku Pengarah JBPM Sabah, Farhan Sufyan Borhan berkata, semua panggilan kecemasan berkenaan diterima seawal jam 7 pagi, 18 Oktober sehingga 7 pagi hari ini.

“Untuk makluman, Pusat Gerakan Operasi JBPM Sabah telah menerima panggilan kecemasan berkaitan Pokok Tumbang dalam tempoh lima hari bermula seawal jam 7 pagi sejak Jumaat lalu hingga 7 pagi hari ini,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Menurut Farhan, panggilan paling tinggi diterima adalah daripada Kota Belud sebanyak tujuh kes diikuti lima kes di Tuaran, empat kes di Putatan dan masing-masing tiga kes di Kunak dan Penampang.

FOTO: Ihsan JBPM Sabah

Dua kes di setiap daerah di Keningau dan Papar manakala hanya satu kes di setiap daerah di Tambunan, Sandakan, Beluran, Tawau, Kota Kinabalu, Kudat dan Kuala Penyu.

Walaubagaimanapun tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian berkenaan.

“Semua lapisan masyarakat dinasihatkan sentiasa bersiap sedia menghadapi perubahan cuaca yang tidak menentu yang boleh mengakibatkan bencana banjir dan pokok tumbang akibat hujan lebat serta ribut petir,” katanya.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan yang dijangka berlaku di beberapa kawasan di Sabah termasuk kawasan pedalaman membabitkan Kuala Penyu, Beaufort, Keningau dan Tambunan.

Amaran sama juga dikeluarkan di kawasan Pantai Barat, Sandakan, Beluran dan Kudat selain Labuan sehingga Jumaat ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini