![](https://media.buletintv3.my/2024/06/PP-CMS_DK-6.jpg)
KOTA BHARU: 325 liter petrol cuba diseludup melalui pangkalan haram di Kampung Simpangan dekat Tumpat malam semalam.
Kegiatan itu bagaimanapun ditumpaskan dalam satu operasi bersepadu.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail berkata, operasi yang dijalankan sekitar jam 11.30 malam itu turut membabitkan kerjasama dengan Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga Pengkalan Kubor.
“Pihak berkuasa turut menyita dua buah kenderaan jenis Proton Iswara dan Proton Wira, dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM10,000,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya terdahulu pasukan operasi mengesan dua buah kenderaan dalam keadaan mencurigakan sebelum serbuan dibuat di pangkalan haram itu.
Hasil siasatan, beberapa tong berisi petrol ditemui di dalam kedua-dua kenderaan yang disyaki digunakan untuk kegiatan penyeludupan.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.