Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid
KUALA LUMPUR: 32 rakyat Malaysia yang terkandas di Chilas ekoran pergolakan yang melanda Islamabad, Pakistan kini sedang menuju ke Bersham, berikutan keadaan di kawasan tersebut yang semakin pulih.
Kementerian Luar menerusi satu kenyataan memaklumkan, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Islamabad sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan untuk memastikan kepulangan mereka berjalan dengan selamat dan terjamin.
“Kementerian Luar Negeri, melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Islamabad, sedang memantau rapi situasi di Islamabad susulan pergolakan yang berlaku di ibu negara dalam tempoh dua hari yang lalu,” menurut kenyataan itu.
Rakyat Malaysia yang berada di kawasan terjejas juga digesa untuk sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan serta panduan terkini yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.
Rakyat Malaysia yang masih belum mendaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Islamabad digalakkan untuk segera berbuat demikian melalui e-konsular (https://ekonsular.kln.gov.my/login) bagi memastikan mereka menerima maklumat dan bantuan tepat pada masanya.
Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Islamabad.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.