comscore
Tumpuan :
Nasional

32 gerai musnah dalam kebakaran, akan dibina semula 

GEORGE TOWN: Kompleks Penjaja Huma House dan Kompleks Pantai Mas Batu Feringghi di sini, yang musnah dalam kebakaran, akan dipertimbangkan untuk pembinaan semula.

Menurut Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Datuk A Rajendran, pihaknya masih menunggu laporan penuh siasatan daripada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengenai kejadian itu.

“Kita merancang akan bina semula gerai bagi peniaga menyambung semula perniagaan mereka di tapak asal dan difahamkan kompleks ini sudah dibangunkan sejak tahun 70-an, ada yang dibina oleh kerajaan manakala selebihnya dibina peniaga sendiri.

“MBPP juga mungkin pertimbangkan bagi menjadikan parkir di hadapan lokasi kejadian sebagai tapak perniagaan sementara bagi peniaga meneruskan pencarian pendapatan,” katanya kepada media, hari ini.

Terdahulu, Rajendran bersama Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jason H’ng Mooi Lye dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah, Zairil Khir Johari ditemui ketika lawatan di kompleks berkenaan.

Sementara itu, Zairil berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan semula sekiranya terdapat lokasi lain yang bersesuaian sebagai tapak niaga sementara.

“Pada masa ini kita komited bagi memulihkan keadaan dan fokus bina semula selain pertimbangkan bantuan segera kepada mangsa terbabit.

“Bulan lalu, kita sudah cadangkan kompleks ini dinaik taraf namun malangnya kebakaran berlaku semalam menyebabkan ia perlu dibangunkan semula dengan kos tertentu,” katanya.

Semalam, media melaporkan kebakaran yang berlaku berhampiran pantai tumpuan pelancong itu memusnahkan 32 daripada 40 gerai.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini