
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengambil tindakan menurunkan 24,791 kandungan palsu serta 6,840 kandungan jelik berkaitan isu 3R (kaum, agama, raja-raja).
Menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, langkah itu sebahagian usaha berterusan MCMC dalam memastikan ekosistem internet di negara ini selamat.
“Penyedia perkhidmatan dengan kerjasama MCMC juga telah mengambil tindakan penurunan terhadap 24,791 kandungan palsu serta 6,840 kandungan jelik berkaitan isu 3R.
“Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan MCMC bagi memastikan ekosistem rangkaian internet yang lebih selamat dan lestari kepada semua pengguna,” jelasnya.
Tambahnya, lebih 10,000 akaun palsu dan 130 kandungan berunsur fitnah turut diturunkan dari media sosial bagi tempoh 2022 hingga 1 Februari 2025.
Bagi isu judi dalam talian pula, sebanyak 5,026 laman sesawang judi telah disekat dengan kerjasama penyedia perkhidmatan internet.
“224,403 kandungan perjudian di platform media sosial telah diturunkan. Daripada jumlah kandungan diturunkan, tiga teratas adalah di platform Facebook iaitu 93.13 peratus, YouTube 3.5 peratus dan Instagram 2.48 peratus.
“Tindakan penurunan kandungan media sosial dan sekatan laman sesawang ini adalah berdasarkan makluman MCMC yang dibuat berasaskan permohonan rasmi agensi penguatkuasaan serta maklumat dan aduan orang ramai yang diterima oleh MCMC,” katanya lagi.
Sementara itu, berhubung isu ‘darkside’ atau laman sesawang berunsur pelacuran pula, sebanyak 316 buah laman sesawang telah disekat bagi tempoh 1 Januari 2022 hingga 1 Februari 2025.
“MCMC telah melaksanakan tindakan sekatan ke atas 316 buah laman sesawang berunsur pelacuran, manakala sebanyak 2,315 kandungan di pelbagai platform media sosial telah dikenakan tindakan penurunan.
“Penurunan kandungan yang tertinggi melibatkan platform Facebook pada kadar 44.5 peratus, TikTok 33.39 peratus dan Telegram 20.13 peratus.
“Tindakan penurunan kandungan media sosial dan sekatan laman sesawang dilakukan terhadap kandungan yang melanggar undang-undang berdasarkan permohonan rasmi agensi penguatkuasaan serta maklumat dan aduan orang ramai yang diterima oleh MCMC,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika menjawab Perbahasan Usul Sesi Penggulungan Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.