BUKIT KAYU HITAM: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menahan 31 pendatang asing tanpa izin (PATI), termasuk tiga kanak-kanak, berhampiran sempadan Malaysia-Thailand semalam.
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam kenyataan berkata, tangkapan dilakukan kira-kira jam 6 pagi di sekitar Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia (KTJ 6 Bgd).
Sepasukan anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang menjalankan rondaan berjaya mengesan sekumpulan PATI yang bersembunyi di kawasan ladang kelapa sawit berhampiran sempadan Malaysia-Thailand.
Hasil pemeriksaan mendapati kesemua 31 PATI adalah warga Myanmar terdiri daripada 14 lelaki, 14 wanita, dua kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan. Mereka berusia antara dua hingga 42 tahun dan dipercayai memasuki Malaysia melalui jalan tidak sah.
Pasukan operasi turut merampas sejumlah wang tunai, 23 telefon bimbit dan set perhiasan barang kemas yang keseluruhan dianggar bernilai lebih RM27,000.
Kesemua PATI diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.