comscore
Tumpuan :
Nasional

31 Ogos diwartakan sebagai Hari Sabah

Datuk Seri Hajiji Noor ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Graduasi 2024 Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah Malaysia Timur bertempat di Dewan Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah – FOTO: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengesahkan kerajaan negeri mewartakan tarikh 31 Ogos sebagai Hari Sabah pada Jun lalu.

Jumaat lalu, pautan sebuah warta dibuat pada 5 Jun dan diterbitkan pada 20 Jun lalu yang memaklumkan mengenai perkara terbabit tular di laman media sosial.

Warta tersebut dimaklumkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong dan diterbitkan atas perintah Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Mengulas lebih lanjut, Hajiji menjelaskan perkara terbabit diputuskan oleh pihaknya dan ia bertujuan untuk memperingati Hari Sabah sebagai hari yang bersejarah di negeri ini.

“Jadi kerajaan negeri berpendapat ia perlu diwartakan untuk diperingati,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Graduasi 2024 Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah Malaysia Timur bertempat di Dewan Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Hajiji turut ditanya sekiranya tindakan kerajaan negeri mewartakan Hari Sabah pada tarikh sama Hari Kebangsaan diadakan bakal mendatangkan kekeliruan terutamanya dalam konteks penganjuran sambutan terbabit.

Bagaimanapun, beliau menafikan perkara itu disamping menegaskan Hari Kebangsaan akan disambut meriah seperti biasa.

“Tidak ada (kekeliruan), kita teruskan perayaan Hari Kebangsaan. Kita dalam satu negara yang sudah merdeka tetapi kalau ada sikit-sikit acara mengenai peringatan Hari Sabah, kita benarkan.

“Tetapi ia (penganjuran aktiviti Hari Sabah) tidak boleh mengganggu program Hari Kebangsaan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini