JOHOR BAHRU: Rakyat Johor teruja dan tidak sabar menantikan perarakan keberangkatan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ke Istana Negara, Kuala Lumpur pada Rabu ini.
Perarakan Diraja itu adalah bagi Sultan Ibrahim berangkat ke Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17.
Laluan sepanjang 35.5 kilometer (km) bermula dari Istana Bukit Serene di sini, sehingga ke Hangar Diraja Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), Senai akan ditutup pada pagi Rabu ini bagi perarakan berkenaan.
Tinjauan di sekitar laluan perarakan itu mendapati bendera negeri dan daerah dipasang di sepanjang laluan berkenaan.
Malah persediaan sedang giat dilakukan di pintu utama Istana Bukit Serene di mana perarakan berkenaan akan bermula pada 8 pagi.
Bagi peniaga makanan di Kampung Bukit Pasir, Istiqarah Mujib, 55, dia tidak sabar dan teruja menyaksikan perarakan itu bagi menyaksikan Sultan Ibrahim dan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.
“Dahulu saya dan keluarga pernah ke Istana Bukit Serene menghadiri rumah terbuka Aidilfitri Almarhum Sultan Iskandar Ismail.
“Ketika itu Sultan Ibrahim masih muda dan terkenal dengan kekacakan baginda.
“Apabila Sultan Ibrahim dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-17, sudah pasti saya sangat teruja dan apabila ada perarakan keberangkatan baginda ke Istana Negara, saya tidak akan melepaskan saat istimewa iu dan akan menunggu di tepi laluan utama bagi melambai baginda,” katanya ketika ditemui.
Sultan Ibrahim dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 untuk tempoh lima tahun bermula Rabu ini dan akan mula bersemayam di Istana Negara, Kuala Lumpur.
Sultan Ibrahim akan menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bakal menamatkan tempoh pemerintahan esok.
Ketua Polis Johor Komisioner M Kumar dilaporkan berkata, dijangkakan seramai 20,000 hingga 30,000 rakyat akan berbaris di sepanjang laluan melambai dan menyatakan sokongan kepada Sultan Ibrahim.
| ARTIKEL BERKAITAN
- TMJ bakal dilantik sebagai Pemangku Sultan
- Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dimasyhur Pemangku Sultan Johor
- 30,000 rakyat Johor dijangka rai keberangkatan Sultan Ibrahim
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.