Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] 3,000 penduduk kampung sekitar Gua Musang terkandas banjir

Anggota keselamatan membantu penduduk terkandas anjir berpindah ke PPS.- Foto: NSTP

GUA MUSANG: Banjir gelombang kedua menyaksikan hampir 3,000 penduduk yang membabitkan beberapa kampung di sekitar Kampung Limau Kasturi terputus hubungan apabila jambatan yang menjadi laluan utama untuk keluar di perkampungan terbabit ditenggelami air Sungai Kerak.

Penduduk mendakwa air mula melimpahi jambatan Sungai Kerak dalam tempoh tiga jam turut menenggelamkan rumah penduduk yang terletak berhampiran sungai terbabit.

Selain Kampung Limau Kasturi antara kampung lain yang terbabit adalah Kampung Batu 14, dan Kampung Serian.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Limau Kasturi, Aluwi Muda berkata, susulan hujan berterusan sejak petang semalam dan lebat pada malamnya menyebabkan air naik terlalu cepat sehingga menyebabkan beberapa keluarga terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Katanya, penduduk di kawasan itu terutama yang tinggal di kawasan rendah terpaksa berhadapan dengan situasi yang sama setiap tahun dan hari ini kali kedua mereka berpindah ke PPS selepas gelombang pertama dua minggu lalu.

“Saya anggarkan sudah ada enam keluarga di PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Kasturi 1 apabila rumah mereka sudah dinaiki air.

“Trend air Sungai Kerak ini dilihat semakin menaik apabila kira-kira jam 5 petang tadi siren amaran bahaya masih berbunyi.

“Jadi saya nasihatkan kepada penduduk terutama untuk sentiasa mengikut arahan pihak berwajib demi keselamatan mereka dan keluarga. Kita takut berlaku situasi luar jangka di mana air Sungai naik secara mendadak dan mereka tidak sempat berpindah,” katanya kepada BH ketika ditemui di Kampung Limau Kasturi, di sini, hari ini.

Tambah beliau lagi, lebih 3,000 penduduk di beberapa kampung kini sudah terputus hubungan dan terpaksa menggunakan perahu untuk keluar sekiranya terdapat urusan mendesak.

Manakala menurut Ahmad Ab Rahman, 46, siren amaran banjir yang berbunyi di kawasan itu bermaksud sungai di paras bahaya yang memberi peringatan akhir kepada penduduk untuk berpindah.

Katanya, sebelum amaran bahaya dikeluarkan sepatutnya amaran berjaga-jaga terlebih dahulu dikeluarkan untuk menjadi panduan kepada penduduk supaya berjaga-jaga.

“Trend air Sungai yang semakin menaik membimbangkan penduduk di sini, tambahan pula apabila siren amaran bahaya masih berbunyi walaupun cuaca sudah tidak hujan.

“Kita risau air dari kawasan ulu turun dan menyebabkan paras air semakin meningkat dan bencana banjir menjadi semakin serius.

“Kepada penduduk sekiranya dinasihatkan berpindah, pindahlah sebelum menjelang waktu malam kerana operasi menyelamatkan boleh membahayakan anggota keselamatan pada waktu malam,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini