comscore
Tumpuan :
Nasional

3,000 kampit beras, 90,000 telur akan diedar sempena Program MADANI Rakyat Zon Timur

FAMA Pahang menyediakan 3,000 kampit beras dan 90,000 telur sempena Program Madani Rakyat 2024 Zon Timur yang diadakan di Dataran Sayangi Kuantan. -Foto: NSTP

KUANTAN: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyediakan 5,000 kampit Beras Putih Tempatan (BPT) dan 90,000 telur untuk diedarkan kepada pengguna bersempena Program MADANI Rakyat 2024 Zon Timur yang diadakan di Dataran Sayangi Kuantan, di sini selama tiga hari bermula esok.

Pengarah FAMA, Saiful Sadri berkata, pihaknya turut menyediakan lebih 3,000 unit Kombo Madani pakej A dan B dengan harga istimewa RM10 membabitkan barangan makanan asas seperti minyak masak, bihun, telur, bawang, ayam, lada merah dan ikan keli sejuk beku.

Menurutnya, bagi penggemar buah tempatan mereka boleh mendapatkan nangka madu tempatan, tembikai merah dan kuning serta Pamelo Sabah yang dijual pada harga serendah antara RM1.50 hingga RM5 sekilogram.

Katanya, beras putih tempatan kampit 10 kilogram (kg) dijual dengan harga RM26 mengikut harga kawalan kerajaan dan mula dijual hari esok.

Telur gred C RM10 satu sarang sebanyak 30 biji, gred B (RM11) dan gred A (RM12).“Saya berharap pengguna tidak melepaskan peluang untuk datang ke gerai FAMA bagi mendapatkan keperluan harian yang disediakan kami sepanjang program, jualan bermula esok hingga Ahad.

Mereka yang bertuah turut berpeluang mendapatkan Kombo Madani Happy Hour pada harga RM8 seunit.

“Kita sedia menambah barangan jualan sekiranya keadaan memerlukan terutama membabitkan beras dan telur bagi memenuhi permintaan pengguna yang datang ke Program Madani Rakyat 2024 Zon Timur,” katanya, di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pertanian Pahang, Muhd Rizal Baharom, berkata pihaknya akan memberi secara percuma lebih 9,000 benih dan anak pokok buah-buah tempatan termasuk bawang dan sayur.

Katanya, anak pokok yang disediakan seperti kelapa, durian, mesta, halia, limau kasturi dan limau nipis. Agihan bermula esok hingga Ahad.

“Mereka bertuah sahaja berpeluang membawa pulang anak pokok buah-buahan, setiap individu hanya boleh mengambil sepokok sahaja. Siapa cepat dia dapat,” katanya.

Program MADANI Rakyat Zon Timur dijangka dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Sabtu ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini