comscore
Tumpuan :
Nasional

3,000 cerun berisiko sepanjang jalan persekutuan dipantau rapi JKR- Ahmad Maslan

Oleh: Kumaran Rajamoney

SIMPANG PULAI: Kementerian Kerja Raya (KKR) memantau 3,000 cerun yang dikategorikan berisiko menerusi Sistem Pengurusan Cerun Bersepadu yang diselia cawangan Kejuruteraan Cerun Jabatan Kerja Raya (JKR).

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan menjelaskan pemantauan ini dijalankan bagi mengesan pergerakan tanah dengan tepat untuk membolehkan sistem amaran awal diaktifkan sekiranya mengesan risiko tanah runtuh.

“Pengesanan 3,000 cerun berisiko ini adalah hasil pemetaan yang dijalankan melibatkan lebih 27,000 kawasan cerun berhampiran jalan persekutuan di seluruh negara.

“Jurutera daerah telah dilengkapkan dengan maklumat lengkap mengenai kawasan cerun berisiko yang disenaraikan dan bertanggungjawab melakukan pemantauan kestabilan berkala dan mengambil langkah berwaspada. Kerja ini dibantu konsensi yang sudah dilantik,” katanya.

Ahmad Maslan menjelaskan Garis Panduan Pemetaan dan Penilaian Bahaya Cerun turut dilancarkan bagi menyediakan pelan tindakan sebagai asas lengkap pemetaan.

“Garis panduan ini merupakan dokumen rujukan dan panduan am dalam membuat kerja pemetaan dan menjalankan penilaian ke atas cerun-cerun untuk mengenalpasti tahap bahaya dan risiko cerun.

“Dengan adanya panduan Pemetaan dan Penilaian Bahaya Risiko Cerun di bawah kerangka teras strategik ini, maka data inventori cerun yang lengkap dapat dihasilkan. Setiap data inventori cerun tersebut akan dianalisis dan kategori tahap bahaya dan risiko bagi setiap cerun dapat dikenalpasti,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat meninjau kemajuan kerja bagi Projek Pembaikan Cerun dan Membaik Pulih jalan persekutuan FT185 Seksyen 44.1 Jalan Simpang Pulai — Blue Valley Daerah Kinta, Perak.

Kawasan itu mengalami runtuhan setinggi 250 meter dan sepanjang 600 meter, dengan kerja pembaikan cerun telah dimulakan pada 1 Julai 2022 melibatkan skop kerja ukur tanah, siasatan tanah, kerja-kerja pengukuhan cerun, kerja-kerja sistem perparitan, kerja-kerja pencegahan dan amaran awal tanah runtuh.

Projek yang menelan kos RM122 juta itu telah mencapai kemajuan kerja fizikal 33.31 peratus dan dijangka siap pada Disember 2025.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini