Tumpuan :
Nasional

300 tapak pelupusan sampah haram ditutup akhir tahun ini

Tapak pelupusan sampah haram . – Foto hiasan

SEKINCHAN: 300 tapak pelupusan sampah haram di seluruh negara akan ditutup menjelang akhir tahun ini.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata, usaha berterusan itu bertujuan mengelak ancaman terhadap kualiti alam sekitar terutamanya semasa musim panas.

Beliau berkata, KPKT melepasi sasaran dengan menutup 128 tapak sampah haram berbanding 100 yang disasarkan sebelumnya.

“Tahun ini sahaja kita sasar 300 tapak pelupusan sampah haram ditutup khususnya di Selangor kerana banyak kawasan industri. Tiada kompromi berhubung kebersihan serta kualiti alam ini.

“Kita akan memaklumkan status perkembangan apabila kerja siap (jumlah penutupan tapak pelupusan sampah haram) dalam masa terdekat” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Pasar Awam Sekinchan.

Pada masa sama, Kor Ming berkata, perbincangan akan dilakukan khususnya dengan Kerajaan Selangor berhubung pelaksanaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

Menurutnya, ia bertujuan mengukuhkan strategi bagi mengelakkan pembuangan sampah haram dengan membabitkan kontraktor-kontraktor dilantik bagi pembuangan sampah dari industri.

“Ini supaya penyelesaian terbaik (kontraktor haram) dalam mengatasi masalah kronik (tapak sampah haram) yang telah berlarutan lama dan bukannya berlaku (sejak) hari ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Kor Ming berkata, kesiapsiagaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berada di tahap tertinggi untuk operasi pemadaman disebabkan cuaca panas.

“Tahun ini, KPKT diberi peruntukan tambahan khususnya kepada JBPM sebanyak RM46.15 juta bagi membeli peralatan dan perolehan.

“Saya meminta orang ramai berhenti melakukan pembakaran terbuka terutama pada musim panas ini.”Jangan sesekali jadikan keadaan lebih teruk kerana pembakaran terbuka adalah satu kesalahan yang boleh dihukum penjara dan kompaun,” katanya

Loading...
Terkini