Tumpuan :
Nasional

300 tan padi dipindah tanpa permit

Kawalselia Padi dan Beras negeri Kedah menyita lebih 300 tan padi di sebuah kilang di Kuala Kedah selepas didapati melakukan pemindahan padi tanpa permit kelmarin.- FOTO: Kawalselia padi

ALOR SETAR: Bahagian Kawalselia Padi dan Beras Negeri Kedah menyita lebih 300 tan padi di sebuah kilang di Kuala Kedah dekat sini, yang didapati melakukan pemindahan padi tanpa permit kelmarin.

Pengarahnya, Mohamad Nornizam Ramly berkata, tindakan itu dilakukan selepas agensi itu menerima aduan berkaitan dan seterusnya melakukan pemeriksaan ke atas kilang padi kormesial terbabit pada jam 2.30 petang.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati padi pukal dengan berat bersih kira-kira 307,591.2 kilogram (kg) di dalam kilang tersebut yang dibeli dari Selangor.

“Pasukan penguatkuasa meminta dokumen berkaitan padi dalam milikan kilang tersebut untuk semakan lanjut. Didapati pemilik kilang gagal mengemukakan dokumen berkaitan padi dalam milikannya.

“Mengesyaki kilang tersebut telah melakukan kesalahan anggota Kawalselia Padi dan Beras bertindak menyita padi di kilang dengan anggaran hasil sitaan adalah sebanyak RM399,868,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata kes itu akan disiasat di bawah Peraturan 2 ,Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Sekatan Pemindahan Antara Negeri) 1997 P.U (A) 31 Akta 522 Akta Kawalan Padi dan Beras.

Katanya, sekiranya didapati bersalah, kilang padi itu boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM25,000.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini