ALOR SETAR: Sebanyak 30 buah rumah mengalami kerosakan di Taman Setia berhampiran pasar raya dekat sini akibat ribut, petang semalam.
“Saya nampak pusaran angin mengangkat bumbung rumah sehingga rumah saya cerah di bahagian atas dan air hujan masuk mencurah-curah.
“Ketika kejadian, hanya saya bersama isteri serta dua cucu perempuan berusia 10 dan 12 tahun malah saya sempat melaungkan azan mengharapkan hujan berhenti dengan cepat,” kata Aman Shah Hashim, 63.
Aman Shah yang juga pesara kerajaan berkata, ketika itu beliau bersama isterinya, Sharifah Hamid, 57, bersama dua cucu perempuan berusia 10 dan 12 tahun dalam rumah sedang berehat.
Katanya, mereka terdengar bunyi kuat di atas bumbung sebelum ternampak pusaran angin mengangkat bumbung rumah mereka sehingga rosak keseluruhannya, termasuk di bahagian depan dan dapur.
“Ketika kejadian waktu Asar, saya sempat melaungkan azan kerana takut apabila melihat sendiri pusaran angin puting beliung itu dengan jelas.
“Sewaktu kejadian, anak dan menantu saya keluar kerana mempunyai urusan di luar dan hanya tinggal kami berempat,” katanya.
Aman Shah berkata, kejadian itu paling teruk berlaku pada mereka sekeluarga dan menganggarkan kerugian mencecah RM30,000 selepas perabot dan bumbung rosak.
“Malam tadi, anak menantu, cucu serta isteri saya tidur di rumah tumpangan berhampiran, manakala saya pula tidur di sini kerana nak jaga barang,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Setar/Pokok Sena, Kapten (PA) Abdul Haliq Rafiq Mokhtar berkata, kejadian berlaku jam 4.30 petang membabitkan 30 rumah penduduk di kawasan Mukim Pengkalan Kundur.